Connect with us

Terkini

Sesi persekolahan di negeri PKP ditangguh

Published

on

PUTRAJAYA: Sesi persekolahan 2021 yang sepatutnya bermula 20 Januari ini ditangguhkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu bermula Rabu ini di enam buah negeri.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan berkata, bagi kawasan PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP), pengoperasian institusi pendidikan bawah Kementerian dan semua kategori Institusi Pendidikan Swasta (IPS) yang berdaftar termasuk sekolah antarabangsa adalah berdasarkan takwim institusi masing-masing.

Menurutnya, kumpulan pelajar itu di negeri PKP akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mengikut kesesuaian guru dan murid mulai 20 Januari ini termasuk murid Semester 2 Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Semester 2 DVM tahun 2020 di Kolej Vokasional.

Menurutnya, sesi persekolahan secara bersemuka hanya melibatkan murid yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), SVM, Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) tahun 2020 dan 2021 serta peperiksaan antarabangsa yang setara.

“Murid sekolah berasrama penuh dan asrama sekolah harian yang akan menduduki peperiksaan tersebut dibenarkan pulang ke asrama mulai 16 Januari.

“Surat kebenaran khas akan dikeluarkan oleh pihak sekolah bagi membolehkan murid merentas negeri atau daerah untuk pulang ke asrama,” katanya di sini hari ini.

Kata kenyataan itu, semua guru hendaklah kembali ke stesen tempat bertugas masing-masing sebelum 20 Januari bagi tujuan pengoperasian sekolah.

Jelasnya, guru yang terlibat dengan peperiksaan SPM/SVM/SKM/STPM/STAM/DVM tahun 2020 dan 2021 di kawasan PKP perlu hadir ke sekolah untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka.

Surat kebenaran khas akan dikeluarkan oleh pihak sekolah bagi membolehkan guru merentas negeri atau daerah untuk hadir ke sekolah, katanya.

Bagi Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) ke Tingkatan 1, katanya, calon berdaftar yang masih belum menduduki pentaksiran ini akan mengikuti pentaksiran di antara 20 hingga 29 Januari ini.

“Sementara itu, bagi kemasukan ke Tingkatan 4 pula, pentaksiran akan diadakan di antara 15 hingga 25 Februari dan surat kebenaran khas akan dikeluarkan oleh kementerian bagi membolehkan calon merentas negeri atau daerah untuk hadir ke pusat pentaksiran yang ditetapkan.

“Pelajar Kolej Matrikulasi di kawasan PKP yang telah berada di kolej perlu kekal di kolej masing-masing untuk terus mengikuti pembelajaran secara hibrid,” katanya.

Dalam pada itu, Kementerian berkenaan menambah, bagi pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) di kawasan PKP, pengajaran dan pembelajaran bagi semua program pengajian akan dilaksana secara dalam talian mulai 17 Januari ini.

Di samping itu, katanya, semua tadika swasta yang berdaftar dengan kementerian boleh terus beroperasi secara bersemuka.

“Kementerian menyarankan agar semua ketetapan ini turut diikuti oleh sekolah-sekolah yang tidak berdaftar dengan kementerian, termasuk sekolah dibawah Kerajaan Negeri.

“Kementerian akan sentiasa mengambil langkah-langkah perlu selaras dengan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah dalam Norma Baharu, Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Institut Pendidikan Guru dan Kolej Matrikulasi dalam Norma Baharu serta Prosedur Operasi Standard yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Pemantauan pengoperasian institusi pendidikan akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan aspek kesihatan dan keselamatan semua warga institusi pendidikan sentiasa diutamakan, jelas kenyataan itu. -UTUSAN ONLINE

Continue Reading
Advertisement
Click to comment

You must be logged in to post a comment Login

Leave a Reply

Trending