Connect with us

Terkini

Promosi penerbangan serendah RM49 ke Pulau Pinang

Published

on

GEORGETOWN: Syarikat penerbangan AirAsia dan Penang Global Tourism (PGT) menawarkan promosi penerbangan terbaharu lengkap dengan tawaran penginapan di hotel-hotel terpilih bagi menggalakkan pelancong berkunjung ke negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin berkata, melalui kerjasama terbaharu itu, AirAsia memperkenalkan pakej menarik termasuk penginapan selama tiga hari dua malam di hotel tiga hingga empat bintang di negeri ini beserta tiket penerbangan pergi dan balik dari harga serendah RM49 seorang.

Ujar beliau, kempen itu akan berlangsung bermula esok (24 Disember) hingga 27 Disember untuk tempoh perjalanan dari 4 Januari hingga 31 Mac 2021.

“Tawaran hebat ini menampilkan tiket penerbangan dan kombo hotel merangkumi lebih daripada 25 hotel di Pulau Pinang antaranya Hotel Brown dan Sunway Hotel di Seberang Jaya,” katanya dalam sidang akhbar sempena kerjasama antara PGT dan AirAsia di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Bahagian Komersial Wilayah AirAsia, Tan Mai Yin dan Ketua Pegawai Eksekutif PGT, Ooi Chok Yan.

Menurut Soon Hin, bagi mereka yang memilih penginapan lebih mewah di hotel empat hingga lima bintang, harga tawaran bermula pada kadar RM179 seorang termasuk tiket kapal terbang pergi dan balik.

“Tawaran ini adalah cara terbaik untuk mempromosi Pulau Pinang kepada pelancong tempatan selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditamatkan.

“Kami optimis dengan kerjasama dengan AirAsia, industri pelancongan Pulau Pinang akan kembali pulih dan menjadi pilihan pelancong,” katanya.

Dalam pada itu, Mai Yin berkata, tawaran berkenaan terbuka kepada semua penerbangan domestik yang menghubungkan Pulau Pinang.

“Kami berharap orang ramai mengambil peluang untuk meneroka dan menikmati lebih banyak apa yang ditawarkan di Pulau Pinang.

“Jumlah penerbangan Air Asia ke Pulau Pinang juga meningkat sejak rentas negeri dibenarkan dan sehingga kini mencapai 35 penerbangan seminggu bagi laluan Kuala Lumpur ke Pulau Pinang,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, Air Asia juga telah memperkenalkan laluan baharu iaitu Kota Bharu ke Pulau Pinang yang bermula semalam dan laluan Sibu ke Pulau Pinang pula akan diperkenalkan mulai Januari tahun depan. – UTUSAN

Continue Reading
Advertisement
Click to comment

You must be logged in to post a comment Login

Leave a Reply

Trending