Bapa lima Anak Terkedu, Bakal Dipenjara 10 Tahun Gara-Gara Mencurl Barang Harga RM83.82

Seorang buruh anak lima diperintah menjalani kerja khidmat masyarakat selama tiga bulan selepas mengaku salah mencuri mi segera dan pakaian dalam wanita di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd. Halim Harun, 52, yang membuat pengakuan itu sejurus selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati mencuri pelbagai barangan termasuk ubat gegat, mi segera, pakaian dalam wanita dan masker kecantikan bernilai RM83.82 milik Pasaraya Lotus, Cheng kira-kira pukul 9.15 malam, 5 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh didapati beredar melepasi kaunter bayaran bersama 11 barangan milik pasar raya berkenaan, yang disedari pembantu pengurus pasar raya tersebut.

Barangan itu dimasukkan ke dalam beg sandang sebelum tertuduh ditahan di pintu keluar pasar raya terbabit.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukumannya diringankan dengan alasan hanya bekerja sebagai buruh dan perlu menanggung lima anak yang masih bersekolah, selain isteri tidak bekerja.

Katanya, tindakan itu dilakukan kerana tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membayar semua barangan keperluan rumah yang dicuri.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa’ari memohon hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, Mazana memerintahkan tertuduh menjalankan kerja kebajikan dua jam sehari selama tiga bulan mengikut Seksyen 5 Akta Kehadiran Wajib Pesalah-pesalah 1954 (Pindaan 2021) berserta jaminan RM1,000 tanpa cagaran.

Sekiranya gagal mematuhi hukuman berkenaan, tertuduh boleh dikenakan hukuman asal wajib penjara dan denda di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Ketahuilah hukum dalam Islam jika seseorang terpaksa mencuri akibat darurat

Darurat mengikut bahasa al-Quran ialah perkara yang membinasakan atau menyebabkan masyakah (kesulitan) bagi memelihara perkara yang dinamakan ‘dharuriyyat’ yang wajib dipelihara dalam agama demi menjaga maslahah yang wajib, iaitu memelihara agama, nyawa, akal dan harta.

Perkara ini menjadi rukun kehidupan bagi diri manusia mengikut fitrah yang telah ditetapkan oleh Allah.

Para alim ulama meletakkan beberapa syarat bagi mengharuskan perkara yang dilarang:

1. Darurat itu memang benar-benar berlaku bukan lagi hanya sangkaan semata-mata ke atas kemusnahan nyawa ataupun harta benda. Kalau pun kekhuatiran itu berdasarkan andaian, andaian itu hendaklah andaian yang kuat seperti telah melalui proses pengalaman dan pemerhatian.

2. Orang yang berada dalam keadaan darurat itu tidak ada jalan yang lain. Contohnya seseorang yang amat terdesak untuk makan, maka dia mestilah memilih makanan yang halal dahulu tetapi jika tidak dijumpai makanan yang halal dan nyawanya akan terancam jika tidak makan maka dibenarkan dia untuk mencuri makanan untuk menyelamatkan nyawanya dari binasa.

3. Orang yang dalam keadaan darurat (terpaksa) itu mestilah berusaha jangan memilih perkara yang terang-terang melanggar prinsip asas syariat Islam. Sekiranya seseorang itu dalam keadaan begitu lapar yang teramat sangat maka dia mestilah memilih sesuatu yang lain dahulu untuk makan selain daripada daging babi. Akan tetapi jika tidak ada apa-apa melainkan terpaksa makan daging babi maka dibenarkan untuk dia makan.

4. Ketika melepaskan keadaan daruratnya seseorang itu mestilah sekadar melakukannya kadar yang perlu sahaja, bukan untuk berselesa melakukan perkara yang terlarang berkenaan.

Firman Allah di dalam Surah Al-Baqarah ayat 172 dan 173: (172) Wahai orang-orang yang beriman, makanlah kalian daripada rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepada kalian (halal) dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar kepada-Nya kamu menyembah.

(173) Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagi kalian bangkai, darah, daging babi, dan binatang yang (ketika disembelih) disebutkan (nama) selain Allah. Tetapi sesiapa dalam keadaan darurat (terpaksa memakannya) sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak berdosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Allah memerintahkan secara tegas dengan mewajibkan makan daripada sumber yang halal, akan tetapi apabila berlaku darurat dan tiada makanan yang halal.

Maka Islam mengizinkan makan makanan yang haram dengan kadar yang sepatutnya. Ini disebabkan oleh darurat dan makanan menjadi sangat penting untuk menjaga nyawa manusia.

Tular di media sosial baru-baru ini beberapa individu memecah masuk sebuah kedai serbaneka dan pasaraya untuk mengambil barang makanan bagi tujuan kelangsungan hidup ketika belakunya banjir besar yang mengakibatkan musnah seluruh harta benda dan keperluan hidup.

Dalam situasi begini sekiranya mereka benar-benar dalam keadaan kesempitan yang boleh mengancam nyawa maka Islam membenarkan untuk mengambil makanan atau ubat-ubatan sekadar keperluan sahaja dan ia tidak dikira sebagai berdosa.

Tetapi harus diingat bukan semua kelaparan dibenarkan untuk mencuri atau mengambil harta orang lain tanpa kebenaran.

Pernah berlaku pada zaman Khalifah Saidina Umar apabila ditimpa musim kemarau panjang yang juga dikenali sebagai Tahun Kelaparan.

Pada waktu itu Umar tidak mengambil tindakan untuk memotong tangan bagi mereka yang mencuri makanan disebabkan oleh kelaparan yang boleh mengancam nyawa.

Bagi pemilik kedai yang barang makanan mereka diambil disebabkan oleh mangsa-mangsa banjir yang dalam keadaan sangat lapar maka adalah sebaiknya mereka berniat untuk sedekahkan kepada mereka yang memerlukan.

Ganjaran yang sangat besar bagi mereka yang memberi makan kepada orang yang dalam kelaparan. Ini kerana, memberi makan kepada mereka yang sangat lapar adalah salah satu amalan yang boleh menyebabkan seseorang itu masuk ke dalam syurga.

Firman Allah di dalam Surah Al-Balad ayat 12: Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui: apa dia amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan itu?

Antara amalan yang tinggi darjatnya di sisi Allah ialah: Firman Allah dalam surah yang sama ayat 14: Atau memberi makan pada hari kelaparan dan Allah sudahi dengan; Firman Allah ayat 18: (Ketahuilah! Bahawa orang-orang yang beriman serta berusaha mengerjakan amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan), merekalah golongan pihak kanan (yang akan beroleh Syurga).

Maka ayuh sama-sama kita mendoakan keselamatan sahabat-sahabat kita yang diuji oleh Allah dengan musnahnya harta benda mereka serta kita membantu sedaya mungkin semoga ia menjadi asbab untuk kita ke syurga Allah.

Sumber: UTUSAN

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih Banyak!

PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini.

Pihak admin juga tidak mampu untuk memantausemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*