Kekalkan Salah misi ‘berliku

LONDON: Mohamed Salah ‘mahu kekal di Liverpool’ tetapi belum ada ketetapan mengenai kontrak baharu dalam rundingan rumit kelab tersebut.

Bintang Mesir itu membuka akaun jaringannya musim ini de­ngan meledak gol ketiga Reds ketika menumpaskan Norwich 3-0 pada aksi sulung Liga Perdana Inggeris, Sabtu lalu.

Selepas tamat perlawanan, ejennya, Ramy Abbas Issa memuatnaik gambar Salah di Twitter bersama mesej ‘saya harap mereka menonton’, sekali gus menguatkan dakwaan rundingan penyambungan kontrak tidak berjalan seperti diharapkan.

Kontrak pemain berusia 29 tahun itu hanya akan berakhir pada 2023, namun Liverpool dalam rundingan untuk memperbaharuinya sehingga 2025.

Virgil van Dijk, Trent Alexander-Arnold, Alisson dan Fabinho telah menandatangani penyambungan kontrak, manakala kapten Jordan Henderson dijangka mengikuti jejak mereka dalam masa terdekat.
VIRGIL van Dijk menyambung kontrak bersama Liverpool sehingga 2025.

“Ia agak rumit kerana pembaharuan (kontrak) kelihatan tidak mengikut turutan kepentingan.

“Kalau mereka benar-benar ikut, maka Salah ber­ada dalam senarai teratas. Kontrak Salah lebih rumit untuk di­selesaikan atas pelbagai faktor.

“Kita telah lihat apa yang ditulis ejennya di Twitter. Dia pasti mahukan wang besar kerana telah memainkan peranan penting dalam sejarah kelab.

“Apa pun perjanjian yang hendak ditawarkan kepadanya, ia akan menjadi proses paling sukar untuk dilakukan tetapi menjadi keutamaan kelab,” kata pengulas bola sepak, James Martin dalam podcast Liverpool.com.

Salah ketika ini menerima gaji mingguan 200,000 pound (RM1.16 juta), manakala Van Dijk menikmati 220,000 pound (RM1.27 juta) dalam kontrak terbaharu yang ditandangani.

Hantaran Ramy di Twitter dianggap mesej jelas buat pemilik kelab, Fenway Sports Group yang dianggap kurang menghargai nilai Salah, yang telah meledak 126 gol dan menyumbang 49 bantuan sepanjang 204 penampilan sejak tiba di Anfield pada 2017. – AGENSI

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*