Guru pendidikan khas terkejut dapat kereta Mustang, anggap makbul doa anak syurga

TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Perumpamaan ini paling tepat menggambarkan kisah seorang guru di sebuah sekolah pendidikan khas di Melaka, Nazirah Mohd Shah.

Naz memberitahu dia langsung tidak menduga percubaannya menceburi bidang perniagaan produk kecantikan telah membawanya ke tahap sekarang sehingga layak memenangi hadiah mewah tersebut.

Ceritanya, semuanya bertitik tolak daripada niatnya untuk menambah pendapatan keluarga dan ternyata semua urusannya dipermudahkan sepanjang tempoh itu.

Naz memberitahu pencapaiannya adalah berkat usaha dalam tempoh 5 tahun.

“Lima tahun lalu saya cuba untuk tambah pendapatan keluarga… langsung saya tak duga untuk menceburi bidang perniagaan produk dan itu pun sebab saya berpuas hati dengan hasilnya.

“Sebab itu saya ambil keputusan untuk menjadi dropship, ejen dan seterusnya stokis. Alhamdulillah, semakin lama, jualan mendapat sambutan dan saya mula serius untuk teruskan,” katanya kepada mStar.

Bagaimanapun kata Naz, meskipun sudah berjaya dalam bidang perniagaan namun tidak pernah terlintas difikirannya untuk meninggalkan karier dan tanggungjawabnya sebagai seorang pendidik.

“Saya mengajar di sebuah sekolah pendidikan khas. Naluri dan jiwa saya memang kepada pelajar-pelajar saya. Mereka jugalah pemangkin semangat saya untuk lebih berjaya pada hari ini.

“Bagi saya, mengajar adalah tanggungjawab dan ada kepuasan tersendiri. Kita mengajar sesuatu yang mereka tidak tahu sehingga tahu. Saya mengajar pelajar yang mempunyai masalah pembelajaran dan autisme.

“Bukan sahaja mengajar, malah saya juga belajar daripada mereka. Mereka ini istimewa dan ahli-ahli syurga. Saya sentiasa bergurau senda dengan mereka supaya doakan saya,” katanya yang telah membuka outlet pertama di Melaka pada 2018.

Sementara itu, Naz memberitahu bagi melancarkan urusan perniagaannya, suaminya banyak membantu dari segi pengurusan akaun memandangkan lelaki itu pernah bertugas sebagai pengurus bank.

Naz berkata, kerjasama dan bantuan daripada suaminya melancarkan semua urusan apatah lagi dia mengetahui selok-belok hal berkaitan akaun.

Suami banyak membantu Naz dalam mengecap kejayaan.

“Tanpa suami, mungkin sukar untuk saya uruskan semua hal berkaitan perniagaan ini,” katanya yang pernah mencatat jualan hampir 4 juta tahun lalu.

Berkongsi rahsia kejayaannya, Naz memberitahu tiada resepi tertentu yang diamalkan sebaliknya sentiasa berpegang pada matlamat dan tujuan dalam melakukan sesuatu.

Baginya, ketika dia menceburi bidang itu, dia memang mensasarkan untuk memperolehi insentif yang disediakan sekali gus membuatkan dia fokus dalam mencapai matlamat berkenaan.

“Saya memang target nak dapatkan hadiah ini sebab setiap yang kita buat mesti ada sasaran sendiri. Apabila kita ada target, kita akan usaha untuk dapatkannya. Tahun ini saya mencapai impian dan akan terus berusia untuk lebih maju.

Naz menggunakan peluang yang diperoleh sebaik-baiknya.

“Semua orang boleh berjaya. Cuma jangan berputus asa dan gunakan peluang yang datang sebaik-baiknya. Malah saya juga turut turun padang setiap minggu berkongsi pengalaman perjalanan kejayaan bersama ahli-ahli lain kerana saya juga bermula dari ‘tidak tahu apa-apa’.

“Jadi saya juga nak orang lain juga berjaya,” jelasnya yang bergelar Master Premier.

Sebagai rekod pada tahun 2019, Naz Anaz turut memenangi kereta mewah Mercedes Benz dari Meeracle susulan kejayaan penjualan yang cemerlang.

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! SK

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook

Sumber: Mstar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*